Surat Terbuka Presiden MAM terhadap Laporan Utusan Malaysia Bertarikh 22 Disember 2011, “Melayu Ramai Homoseksual?”

Malaysian AIDS Council Embarks on Road to ‘Zero’ for World AIDS Day 2011
June 25, 2011
The Tun Dr Siti Hasmah Award Returns
February 10, 2012

Surat Terbuka Presiden MAM terhadap Laporan Utusan Malaysia Bertarikh 22 Disember 2011, “Melayu Ramai Homoseksual?”

Tarikh: 29 Disember 2011

Kepada Mereka Yang Berkenaan

Tuan/Puan,

SURAT TERBUKA PRESIDEN MAJLIS AIDS MALAYSIA TERHADAP LAPORAN UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 22 DISEMBER 2011, MELAYU RAMAI HOMOSEKSUAL?

Salam Sejahtera.

Saya ingin merujuk kepada laporan Utusan Malaysia, Melayu Ramai Homoseksual? bertarikh 22 Disember 2011. Laporan berkenaan memetik beberapa kenyataan saya mengenai lelaki berhubungan seks sesama lelaki (MSM) di sidang akhbar sempena Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV & AIDS yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada tarikh yang sama.

Laporan tersebut telah menimbulkan teguran pelbagai pihak, khasnya komuniti yang terjejas oleh HIV. Namun itu bukan hasrat saya. Tujuan saya tidak lain dan tidak bukan untuk menerangkan dengan jelasnya bahawa kita perlu bertindak bersungguh-sungguh demi mencegah penularan HIV yang kian meningkat melalui hubungan seks tidak selamat. Saya memandang serius berkenaan perkara ini dan ingin menekankan bahawa konotasi negatif di pentas media yang dilemparkan kepada komuniti ini hanya akan mengakibatkan stigma dan diskriminasi terhadap mereka semakin menebal. Stigma masih lagi menjadi faktor utama yang menghalang usaha-usaha Majlis AIDS Malaysia (MAM) untuk mendekati komuniti terpinggir seperti lelaki berhubungan seks sesama lelaki, mak nyah, pekerja seks dan pengguna dadah secara suntikan, dengan pendidikan, pencegahan, rawatan serta perkhidmatan sokong bantu HIV.

MAM mengambil pendekatan yang menyeluruh daripada pelbagai penjuru dalam usaha membendung penularan HIV di negara ini. Wacana berterusan dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak-pihak berkuasa keagamaan antara langkah yang diambil untuk meningkatkan pemahaman tentang HIV di peringkat penggubalan dasar agar akses kepada perkhidmatan kesihatan berkaitan HIV di kalangan komuniti yang terpinggir dapat dibaiki dan persekitaran yang membolehkan (enabling environment ) dapat diwujudkan. Saya ingin menegaskan bahawa langkah-langkah yang meningkatkan diskriminasi bukan merupakan penyelesaian tetapi akan merumitkan usaha-usaha pencegahan di kalangan golongan yang berisiko tinggi.

Bagi jangkitan melalui hubungan seksual, MAM telah mempergiatan usaha-usaha mendampingi golongan yang berisiko tinggi seperti lelaki berhubungan seks sesama lelaki, mak nyah dan pekerja seks. Peningkatan jangkitan melalui homoseksual tidak semestinya menggambarkan bahawa ramai golongan muda dijangkiti sebaliknya mencerminkan usaha-usaha peningkatan kesedaran oleh ahli-ahli gabungan MAM dan kerajaan telah mula menampakkan hasil di mana ramai mula menjalani ujian saringan HIV di fasiliti kerajaan mahupun pertubuhan-pertubuhan sukarela di seluruh negara. Kempen-kempen melalui media elektronik dan bercetak perlu diperluaskan bagi membawa golongan yang berisiko tinggi dapat menerima rawatan dengan segera dan seterusnya mengurangkan stigma dan diskriminasi. Ini sejajar dengan tema UNAIDS iaitu “Menuju ke Sifar”.

Sekian.

Yang benar,

TAN SRI MOHD ZAMAN KHAN
Presiden
Majlis AIDS Malaysia

 

Click here to download a scanned copy of the original letter.