Majlis Resepsi Amal Bersama Aaron Aziz Anjuran Yayasan AIDS Malaysia – Renaissance Kota Bharu Hotel

Announcement: Malaysian AIDS Council awards Global Fund grants to two Sub-recipients to pilot HIV intervention programmes targeting Men who have Sex with Men
August 22, 2014
Swiss Drug Policy Study Tour
September 12, 2014

Majlis Resepsi Amal Bersama Aaron Aziz Anjuran Yayasan AIDS Malaysia – Renaissance Kota Bharu Hotel

 SIARAN AKHBAR
Untuk Siaran Segera

Majlis Resepsi Amal Bersama Aaron Aziz

Anjuran Yayasan AIDS Malaysia – Renaissance Kota Bharu Hotel

Realisasikan Rumah Perlindungan HIV Pertama di Kelantan

_____________________________________________________________

KUALA LUMPUR, 5 September 2014 – Yayasan AIDS Malaysia menerusi satu kolaborasi amal dengan Renaissance Kota Bharu Hotel untuk julung-julung kalinya mempersembahkan Majlis Resepsi Amal Bersama Selebriti Sokongan Riben Merah Aaron Aziz. Majlis yang akan berlangsung di Grand Ballroom, Renaissance Kota Bharu Hotel, Kelantan pada 9 September 2014 dari jam 7.30 malam, bertujuan meraih dana untuk pembangunan dan perlaksanaan program-program rawatan, penjagaan dan sokong bantu HIV & AIDS termasuk pembinaan rumah perlindungan HIV yang pertama lengkap dengan keperluan rawatan paliatif dan rehabilitasi di negeri Kelantan.

 

Aaron Aziz selaku Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan AIDS Malaysia menzahirkan keprihatinan setelah meninjau situasi semasa HIV & AIDS yang melanda negeri Pantai Timur itu. “Yayasan AIDS Malaysia menerusi rakan pelaksana program di Kelantan mendapati orang yang hidup dengan HIV di negeri itu rata-rata kurang berkemampuan dan masih terlalu ramai antara mereka yang tercicir dari segi rawatan dan penjagaan disebabkan kurangnya kemudahan untuk memelihara kesihatan dan kebajikan mereka. Situasi ini bertambah buruk apabila sebilangan besar daripada mereka disisihkan keluarga dan masyarakat oleh sebab stigma dan diskriminasi, sehingga terpaksa hidup melarat. Jika kes dirujuk kepada pertubuhan kebajikan, mereka akan dihantar ke rumah-rumah perlindungan di negeri-negeri jiran atau sejauh Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan rehabilitasi, namun ini juga tertakluk kepada kekosongan yang ada kerana kapasiti sesebuah rumah perlindungan adalah amat terhad,” jelas beliau.

 

Selain mengatasi kekurangan perkhidmatan kesihatan berkaitan HIV, situasi jangkitan HIV baru dalam kalangan wanita yang kian meruncing juga antara isu yang akan ditangani menerusi program amal ini. Di Malaysia, nisbah jangkitan HIV baru wanita kepada lelaki telah meningkat 1:4 berbanding 1:10 dalam tempoh hanya satu dekad ini. Sebahagian daripada dana yang diraih pada malam Majlis Resepsi Amal ini akan disalurkan kepada program pemerkasaan HIV khusus untuk kaum wanita di negeri Kelantan, yang antara lainnya bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mereka tentang HIV dan kesihatan seksual dan reproduktif, memastikan ibu-ibu mengandung memanfaatkan program pencegahan transmisi HIV ibu kepada anak, dan mempertahankan hak-hak wanita untuk mendapatkan perlindungan, keselamatan dan akses kepada rawatan HIV dan perkhidmatan kesihatan yang lain.

 

Penaung Majlis Resepsi Amal ini ialah YBM Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Tengku Laksamana Kelantan.

 

Resepsi amal yang mengisi kalendar sosial negeri Kelantan bakal menghimpunkan 100 orang tetamu termasuk kerabat diraja Kelantan, tokoh–tokoh korporat dan usahawan tempatan serta individu-individu lain yang prihatin terhadap isu kemasyarakatan ini. Aaron Aziz yang juga teraju utama majlis akan melelong beberapa item berharga daripada koleksi peribadinya sendiri, selain acara lelong amal barangan eksklusif yang lain untuk mengutip dana akan menjadi pengisian utama majlis. Tetamu akan dihiburkan oleh penampilan dan persembahan khas Selebriti-Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan AIDS Malaysia yang lain iaitu Fahrin Ahmad, Bob Yusof dan Hafiz Hamidun.

 

Renaissance Kota Bharu Hotel yang menaja sepenuhnya acara ini menyifatkan kolaborasi amal ini satu detik pembuka mata dan minda kepada realiti komuniti setempat. Pengurus Besar En. Izudin Merican berkata, “Sebagai peneraju industri hospitaliti di negeri Kelantan, kami berhasrat untuk menyediakan tempat perlindungan kepada mereka yang kurang bernasib baik, sama seperti layanan yang kami berikan kepada tetamu yang datang berteduh di bawah bumbung kami. Kami juga berharap agar lebih banyak lagi industri dan syarikat-syarikat tempatan mengikut jejak langkah kami dan turut serta menghulurkan sumbangan. Semoga majlis amal ini dapat membuka jalan kepada pembinaan rumah perlidungan seperti yang dirancang sekaligus meringankan bebanan rakyat yang hidup dengan HIV di Kelantan, Insha Allah.”

 

Sejak tahun 1986, HIV telah menjejaskan kehidupan lebih 101,672 orang di Malaysia dan menyebabkan 16,340 kematian berkaitan AIDS. Sejumlah 3,393 kes jangkitan HIV baru telah dilaporkan pada tahun 2013, yang mana 207 daripadanya berlaku di negeri Kelantan.

 

Yayasan AIDS Malaysia amat mengalu-alukan sumbangan ikhlas untuk mengubah nasib rakyat Kelantan yang hidup dengan HIV yang kurang berkemampuan. Setiap sumbangan bernilai RM50 dan ke atas layak menerima resit pengeculian cukai. Untuk maklumat lanjut tentang Majlis Resepsi Amal Bersama Aaron Aziz atau membuat sumbangan, hubungi Yayasan AIDS Malaysia menerusi talian 03-40474257 (Arif) atau 03-40474283 (Azahemy) atau Renaissance Kota Bharu Hotel di talian 09-7462233 (Mimi).

 

[TAMAT]

 

RENAISSANCE KOTA BHARU HOTEL

Renaissance Kota Bharu Hotel satu-satunya hotel antarabangsa bertaraf lima bintang di bandar Kota Bharu di bawah rangkaian jenama Marriott. Lokasinya strategik di pusat komersil dan membeli-belah Kota Bharu yang juga berdekatan dengan lapangan terbang domestik. Sejumlah 298 bilik dan suite penginapan yang luas menanti setiap pengunjung dan pelancong, lengkap dengan kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia seperti Internet Berkelajuan Tinggi, 2 Lantai Eksekutif beserta Club Lounge, Business Centre dan Grand Ballroom. Kami juga menyediakan perkhidmatan pengurusan acara untuk mengilhamkan dan merealisasikan pameran, persidangan, mesyuarat dan majlis-majlis perkahwinan. Layari: www.renaissancekotabharu.com

 

YAYASAN AIDS MALAYSIA

Yayasan AIDS Malaysia ditubuhkan pada tahun 1992 untuk meraih dan menguruskan sumber dana untuk menyokong aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Majlis AIDS Malaysia dan Ahli-Ahli Gabungan. Yayasan AIDS Malaysia dinaungi oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia. Yayasan AIDS Malaysia menjalankan aktiviti bagi mengawal penularan jangkitan HIV di Malaysia, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai HIV dan AIDS, memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV, membantu kanak-kanak yatim, wanita-wanita dan orang dewasa yang hidup dengan HIV, menjaga hak serta memberi bantuan kepada mereka yang hidup dengan HIV. Untuk maklumat lanjut, layari www.mac.org.my

HUBUNGI

Jabatan Media & Komunikasi, Yayasan AIDS Malaysia

Zaki Arzmi       016-2922948 zaki@mac.org.my

Ameera Abi     016-4146400 meera@mac.org.my

 

Renaissance Kota Bharu Hotel

Aminah Munirah 09-746 2233 ext. 3387 [email protected]