Belia Kampus Kesihatan USM prihatin komuniti HIV

feature-images-replace_logo-01
Mesyuarat ‘Stakeholder’ Tahunan Peringkat Kebangsaan 2014
September 12, 2014
feature-images-replace_logo-01
PETRONAS ICT recruited to MBCH
October 10, 2014

Belia Kampus Kesihatan USM prihatin komuniti HIV

Pengurus Besar NGC Energy Sdn. Bhd. Puan Julianna Kamaruddin (tengah) menyerahkan sumbangan bernilai RM6,000 kepada Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia En. Hisham Hussein (kanan) sambil disaksikan Presiden SAHABAT Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan (kiri).

Pengurus Besar NGC Energy Sdn. Bhd. Puan Julianna Kamaruddin (tengah) menyerahkan sumbangan bernilai RM6,000 kepada Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia En. Hisham Hussein (kanan) sambil disaksikan Presiden SAHABAT Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan (kiri).

SIARAN AKHBAR
Untuk Siaran Segera
 

MAJLIS KENDURI KOMUNITI SEMPENA PELANCARAN KELAB BELIA RIBEN MERAH (RRYC) KAMPUS KESIHATAN USM

BELIA KAMPUS KESIHATAN USM PRIHATIN KOMUNITI HIV

KUBANG KERIAN, 10 September 2014 – Lebih 250 orang pelajar Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Majlis Kenduri Komuniti bersempena dengan Pelancaran Kelab Belia Riben Merah (RRYC) yang diasaskan Yayasan AIDS Malaysia. Acara ini yang dianjurkan secara bersama oleh USM, Yayasan AIDS Malaysia, Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (SAHABAT) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah dapat mendekatkan para pelajar kepada 200 orang anggota komuniti sekitar negeri Kelantan yang terjejas oleh HIV dan AIDS dalam usaha memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan golongan belia terhadap isu-isu kemasyarakatan di samping mengikis stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV.

Suasana Dewan Utama Kampus Kesihatan USM padat dengan kehadiran lebih 250 orang pelajar Kampus Kesihatan USM yang menyertai Majlis Kenduri Komuniti selain wakil-wakil daripada agensi-agensi kerajaan pusat dan tempatan, badan-badan keagamaan, sektor korporat serta pertubuhan-pertubuhan komuniti akar umbi.

Majlis Kenduri Komuniti ini merupakan acara kemuncak dalam siri Jelajah Kampus RRYC edisi USM di sini. Bermula dengan Bengkel HIV 101 dan HIV & Islam yang diadakan sehari sebelumnya, para peserta yang terdiri daripada rekrut-rekrut baru RRYC USM diberikan pendedahan kepada pengetahuan asas tentang HIV dan AIDS, perkongsian pengalaman oleh individu yang hidup dengan HIV serta ajaran Islam yang menolak segala bentuk penindasan terhadap orang yang hidup dengan HIV. Di sebelah pagi pula, satu upacara penyembelihan tiga ekor lembu sumbangan ikhlas individu dan syarikat korporat telah diadakan di Pusat Islam kampus yang sama untuk diagihkan dagingnya kepada kepada Golongan Asnaf termasuk orang yang hidup dengan HIV yang layak.

Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan AIDS Malaysia Fahrin Ahmad (tengah) ‘turun padang’ bersama-sama sukarelawan RRYC Kampus Kesihatan USM dalam upacara penyembelihan lembu untuk meraikan Golongan Asnaf yang terjejas oleh HIV di Kelantan. Upacara ini merupakan sebahagian daripada pengisian Majlis Kenduri Komuniti sempena pelancaran RRYC Kampus Kesihatan USM.

RRYC adalah satu program pendidikan, pemerkasaan, kepimpinan dan advokasi HIV untuk belia antara 18 – 40 tahun yang telah ditubuhkan Yayasan AIDS Malaysia pada tahun 2012 sebagai langkah kreatif untuk meningkatkan kesedaran dan menangani penularan HIV dalam kalangan golongan muda belia. Menerusi siri Jelajah Kampus, sehingga kini hampir 8,000 pelajar dari 40 institusi pengajian tinggi di Malaysia telah terlibat dengan aktiviti-aktiviti RRYC.

Pelajar Kampus Kesihatan USM mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Belia Riben Merah (RRYC) Yayasan AIDS Malaysia sewaktu acara Jelajah Kampus RRYC edisi Kampus Kesihatan USM.

Mengulas lanjut tentang situasi serta peranan golongan belia dalam membanteras HIV, Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia, Hisham Hussein berkata, “Jangkitan baru HIV dalam kalangan muda belia antara 13 dan 29 tahun melibatkan satu pertiga daripada jumlah kes-kes yang dilaporkan setiap tahun di Malaysia. Perkara yang lebih membimbangkan, jangkitan baru HIV yang disebabkan transmisi seksual pula kini semakin meningkat tahun demi tahun. Walaupun golongan muda kini mudah terdedah kepada risiko jangkitan HIV, mereka juga mampu mengubah keadaan. Rakan sebaya harus memainkan peranan untuk menyebarkan maklumat yang tepat tentang HIV kerana mereka berpengaruh dalam membentuk pemikiran belia. Oleh sebab itu juga RRYC mengambil pendekatan ‘dari belia untuk belia’ yang memberikan penekanan terhadap peranan pembimbing rakan sebaya dalam perlaksanaan program.”

Pukulan gong oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM Profesor Dato’ Ahmad Shukri Mustapa Kamal menandakan perasmian Majlis Kenduri Komuniti sempena pelancaran RRYC Kampus Kesihatan USM. Turut menyaksikan (dari kiri) Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia En. Hisham Hussein, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AIDS Malaysia Tn. Hj. Abd Razak Ahmad, Pengarah Program Jelajah RRYC Kampus Kesihatan USM Cik Erni Suci Cahyani Imam Sunaryo, Presiden Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (SAHABAT) Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan, dan Pengarah Kampus Kampus Kesihatan USM Profesor Dato’ Mafauzy Mohamed.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan penampilan khas Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan AIDS Malaysia, Fahrin Ahmad yang mengambil peluang ini untuk mengingatkan ahli-ahli RRYC supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan HIV yang sewajarnya dan menggalakkan kerja-kerja amal. “Kekuatan sesebuah masyarakat terletak pada keprihatinan serta layanan mereka terhadap golongan yang memerlukan,” ujar beliau.

Tetamu daripada Golongan Asnaf diraikan dalam Majlis Kenduri Komuniti yang mengisi acara pelancaran RRYC Kampus Kesihatan USM.

Turut hadir wakil-wakil agensi kerajaan pusat dan tempatan, badan-badan keagamaan, sektor korporat serta pertubuhan-pertubuhan komuniti akar umbi.

Pada majlis yang sama, dua rakan korporat Yayasan AIDS Malaysia juga telah berkesempatan menyerahkan cek sumbangan yang akan disalurkan ke dalam tabung amal program rawatan, jagaan dan sokong bantu untuk manfaat orang yang hidup dengan HIV yang kurang berkemampuan. Maybank Berhad telah menyampaikan sumbangan bernilai RM119,646.00 yang diraih menerusi lelong amal sewaktu Maybank Treats Fair 2014, manakala NGC Energy Sdn. Bhd.turut memberikan sumbangan dana berjumlah RM6,000.00.

Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pemasaran Kad Malaysia, Maybank Berhad Pn. Marlin Tan Sri Ahmad Nordin (tengah) menyampaikan cek sumbangan bernilai RM119,646 kepada Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia En. Hisham Hussein (kiri) dan disaksikan oleh Presiden SAHABAT Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan (kanan).

Pengurus Besar NGC Energy Sdn. Bhd. Puan Julianna Kamaruddin (tengah) menyerahkan sumbangan bernilai RM6,000 kepada Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia En. Hisham Hussein (kiri) sambil disaksikan Presiden SAHABAT Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan (kanan).

Majlis Kenduri Komuniti turut dijayakan oleh rakan-rakan kerjasama iaitu Yayasan Sime Darby, Hotel Renaissance Kota Bharu dan FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) selain mendapat sokongan Medical Latex (DUA) Sdn. Bhd.

[TAMAT]

YAYASAN AIDS MALAYSIA

Yayasan AIDS Malaysia ditubuhkan pada tahun 1992 untuk meraih dan menguruskan sumber dana untuk menyokong aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Majlis AIDS Malaysia dan Ahli-Ahli Gabungan. Yayasan AIDS Malaysia dinaungi oleh Y.A. Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia. Yayasan AIDS Malaysia menjalankan aktiviti bagi mengawal penularan jangkitan HIV di Malaysia, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai HIV dan AIDS, memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV, membantu kanak-kanak yatim, wanita-wanita dan orang dewasa yang hidup dengan HIV, menjaga hak serta memberi bantuan kepada mereka yang hidup dengan HIV. Untuk maklumat lanjut, layari www.mac.org.my

HUBUNGI

Jabatan Media & Komunikasi, Yayasan AIDS Malaysia
Zaki Arzmi │ 016-2922948 │ [email protected]
Ameera Abi │ 016-4146400 │ [email protected]
 
Unit Perhubungan Awam, Pejabat Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Mohd Rodin Che Yusoff │ 09-7671010/1011/1012 │ [email protected]