Bantu. Jangan menghukum komuniti pengguna dadah.

GlaxoSmithKline – Malaysian AIDS Foundation RM1.25 M partnership drives critical enablers towards ending AIDS
June 19, 2017
NO SUCH THING AS CALM: A POLICY BRIEF ON FISHERMAN, HIV, AND HUMAN RIGHTS
June 22, 2017

Bantu. Jangan menghukum komuniti pengguna dadah.

SIARAN MEDIA

Untuk Siaran Segera

 

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2017 – Kami, komuniti pengguna dadah (orang yang masih aktif menggunakan dadah dan juga bekas pengguna dadah) di Malaysia, ingin mengalihkan pandangan dan keprihatinan pihak berkepentingan dan juga masyarakat umum terhadap isu-isu yang dihadapi komuniti kami akibat stigma dan diskriminasi.

 

Penggunaan dan penagihan dadah ialah isu kesihatan, bukan jenayah. Pengguna dadah memerlukan khidmat sokongan, bimbingan dan kesihatan seperti pengurangan mudarat (pertukaran jarum, rawatan metadon dan khidmat rujukan kesihatan komprehensif yang lain) yang menghormati hak dan maruah kami. Seperti rakyat Malaysia yang lain, kami berhak menjalani kehidupan yang sihat dan bermaruah. Jika diberikan akses kepada rawatan dan pemulihan secara sukarela, kami juga berpeluang untuk menikmati masa hadapan yang cerah dan dapat berbakti kepada masyarakat, sama seperti orang lain.

 

Komuniti pengguna dadah juga sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai tugas dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, ibu bapa, anak dan warganegara. Justeru, kesihatan pengguna dadah merupakan aspek utama yang perlu dititikberatkan. Komuniti pengguna dadah terdedah kepada risiko yang tinggi terhadap pelbagai jenis penyakit berjangkit. Kadar jangkitan HIV dalam kalangan pengguna dadah suntikan adalah 16.3 peratus[1], 36 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia yang lain. Manakala kadar jangkitan hepatitis C pula setinggi 65.4 peratus[2]. Situasi ini bertambah buruk apabila kami ditangkap dan dipenjarakan. Dalam penjara, kami pula terdedah kepada risiko jangkitan tibi, yang menurut satu kajian di dua buah penjara di Malaysia, adalah setinggi 85 peratus dalam kalangan banduan[3].

 

Kami juga melihat dengan mata kami sendiri kematian rakan-rakan kami akibat tiada pembelaan dan akses kepada rawatan yang sewajarnya. Ralat kami memikirkan betapa mudahnya penyakit-penyakit seperti HIV dan hepatitis C dapat dicegah jika diberikan jarum dan alat suntikan yang bersih seperti yang disediakan melalui program pertukaran jarum. Malah, program ini telah terbukti berkesan dalam mengelakkan lebih 12,000 jangkitan HIV baharu dalam kalangan pengguna dadah[4]. Di bawah inisiatif dan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia, rawatan HIV dan metadon pula disediakan secara percuma. Namun disebabkan prasangka negatif, prejudis, stigma dan diskriminasi, kami disisihkan dan diaibkan sehingga kami takut untuk tampil mendapatkan rawatan.

 

Sistem keadilan yang tidak menitikberatkan aspek rawatan, kesihatan dan kebajikan pengguna dadah mengundang lebih banyak kesan negatif dari sudut sosial bukan sahaja kepada individu malahan kepada keluarga. Penangkapan dan pemenjaraan meninggalkan impak trauma yang mendalam selain memecah-belahkan kerukununan serta struktur keluarga. Kurangnya penerapan unsur-unsur pendidikan, bimbingan serta sokongan moral sewaktu dalam tahanan melemahkan semangat dan juga keupayaan kami untuk menangani tekanan emosi. Peluang untuk membina kehidupan yang baharu juga musnah apabila kami dilemparkan dengan rekod jenayah yang menghalang kami daripada mendapatkan pekerjaan. Maka di sini bermulalah kitaran kejam penggunaan dadah – penangkapan – pemenjaraan – pembebasan – penggunaan dadah semula (relapse) – penangkapan semula yang tiada kesudahan.

 

Hak atau layanan istimewa bukanlah yang kami pinta. Sempena hari tindakan global kempen “Bantu. Jangan Menghukum”, kami memohon agar kami diberikan peluang yang saksama seperti rakyat Malaysia yang lain dalam mendapatkan khidmat rawatan, sokongan, dan kebajikan. Kami menyeru agar pihak berkuasa mengguna pakai dan memperluaskan program-program pengurangan mudarat berasaskan bukti saintifik yang diterajui Kementerian Kesihatan Malaysia agar lebih ramai lagi rakan-rakan pengguna dadah kami dapat diselamatkan dan dipulihkan. Kami juga berharap pihak berwajib, dalam usaha untuk mengkaji semula dasar dadah negara, dapat mempertimbangkan keperluan untuk melindungi kesihatan dan kebajikan kami seiring dengan sasaran mencapai status negara bebas dadah. Justeru, kami berpendapat kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, NGO dan pihak-pihak berkepentingan lain menjadi salah satu faktor kejayaan dalam mencapai kesepakatan ke arah pembentukan komuniti pengguna dadah yang sihat dan produktif .

 

Kami meminta agar nyawa kami tidak digadai. Kami meminta agar kami “dibantu, bukan dihukum”.

 

[TAMAT]

 

Kempen “Bantu. Jangan Menghukum”

 

“Bantu. Jangan Menghukum” (“Support. Don’t Punish”) merupakan kempen advokasi global yang menyokong dasar dadah berasaskan bukti saintifik yang mengutamakan kesihatan awam dan hak-hak asasi, termasuk usaha-usaha penggubalan semula dasar dan undang-undang dadah yang menghalang akses kepada program-program pengurangan mudarat. Hari tindakan global kempen “Bantu. Jangan Menghukum” disambut setiap tahun pada 26 Jun sempena Hari Melawan Penyalahgunaan Dan Pengedaran Haram Dadah Antarabangsa. Layari http://supportdontpunish.org/ dan tweet @SDPcampaign menggunakan #supportdontpunish #bantujanganmenghukum dalam perbualan media sosial.

 

 

Majlis AIDS Malaysia

 

Majlis AIDS Malaysia (MAC) ditubuhkan pada tahun 1992 sebagai organisasi ‘payung’ yang bertanggungjawab untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkerja di lapangan HIV dan AIDS. MAC menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, untuk memastikan respons terhadap epidemik AIDS oleh NGO adalah komited dan efektif. Selain melaksanakan program pencegahan, rawatan, jagaan dan sokong bantu HIV di seluruh negara, MAC dan Ahli-Ahli Gabungan bertindak mewakili suara komuniti-komuniti yang terjejas oleh HIV dan AIDS. Untuk keterangan lanjut, layari www.mac.org.my

 

Hubungi

Urus setia kempen “Bantu. Jangan Menghukum”

Majlis AIDS Malaysia

Yatie Jonet | 03.4045.4305 | [email protected]

________

[1]http://www.aidsdatahub.org/sites/default/files/publication/Malaysia_National_strategic_plan_2016-2030.pdf

[2] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19594801

[3] http://epaper.mmail.com.my/2017/05/30/tb-spreading-at-alarming-rate-behind-bars/

[4] http://www.worldbank.org/en/news/press-release/2013/12/18/malaysias-public-health-policies-assisting-people-who-inject-drugs-to-avert-new-hiv-infections-according-to-a-new-study-funded-by-the-world-bank