MAJLIS AIDS MALAYSIA BANTAH UJIAN SARINGAN HIV WAJIB PRA PERKAHWINAN BUKAN ISLAM

PERSIDANGAN AIDS KEBANGSAAN KE 4, TAHUN 2018
October 8, 2018
ACT AGAINST HATE CRIME TOWARDS TRANSGENDER COMMUNITY URGES MALAYSIAN AIDS COUNCIL
January 19, 2019

MAJLIS AIDS MALAYSIA BANTAH UJIAN SARINGAN HIV WAJIB PRA PERKAHWINAN BUKAN ISLAM

mac-logo_s

 

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS AIDS MALAYSIA BANTAH UJIAN SARINGAN HIV WAJIB PRA PERKAHWINAN BUKAN ISLAM

Cadangan kerajaan untuk mewajibkan ujian saringan HIV pra perkahwinan kepada pasangan bukan Islam harus dilakukan secara sukarela dan bukan secara mandatori.

 

KUALA LUMPUR, 18 Disember 2018 – Merujuk kepada kenyataan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam, Majlis AIDS Malaysia (MAM) membantah cadangan kerajaan untuk mewajibkan bakal pengantin bukan Islam menjalani ujian saringan HIV secara mandatori.

Majlis AIDS Malaysia percaya mewajibkan ujian saringan HIV bukan satu penyelesaian efektif jangka panjang terhadap peningkatan HIV dan ujian saringan perlu dilakukan secara sukarela dan bukan secara mandatori.

Ini selaras dengan pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggariskan polisi dan amalan untuk tidak mengiktiraf segala jenis ujian saringan yang dilakukan tanpa rela.

Keputusan negatif dari ujian saringan tidak menjamin seseorang akan kekal negatif sekiranya mereka terlibat di dalam melakukan aktiviti berisiko tinggi seperti aktiviti seks tanpa kondom dan perkongsian jarum suntikan tercemar.

Walaupun ujian saringan HIV untuk bakal pengantin hanya dilakukan sekali namun risiko bagi jangkitan HIV adalah seumur hidup.

Keputusan negatif ujian saringan juga tidak akan membawa sebarang jaminan keselamatan bebas HIV kepada pasangan yang akan mendirikan rumahtangga.

Ujian HIV mandatori akan menampakkan kesan yang terhad dalam mengawal jangkitan HIV tanpa perantaraan yang khusus diambil untuk mencegah jangkitan ini.

Majlis AIDS Malaysia menyokong ujian secara sukarela dijalankan di semua klinik kerajaan di seluruh negara dan diperluaskan di kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan bantuan rawatan HIV yang dibiayai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mereka yang menjalani ujian HIV perlu mendapat kaunseling sebelum dan selepas ujian ini supaya mereka dapat memahami, membincangkan kaedah pencegahan dan jika perlu, berbincang mengenai pilihan rawatan.

Justeru Majlis AIDS Malaysia sedia memberi kerjasama untuk membantu dan memberi pandangan kepada mana-mana kementerian yang berkaitan serta pihak-pihak berkepentingan untuk pertimbangan bersama.

Mengenai Majlis AIDS Malaysia

Majils AIDS Malaysia atau MAM (singkatan Malaysian AIDS Council (MAC)) ialah sebuah majlis yang ditubuhkan untuk mengkoordinasikan serta menyokong badan-badan yang bekerja tentang isu HIV dan AIDS di Malaysia. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1992 dan aktif bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta serta badan-badan antarabangsa.

MAM bekerjasama dengan organisasi rakan kongsi dalam pelbagai aktiviti dari menyokong dan pembaharuan dasar; membangunkan bahan-bahan kesedaran dan komunikasi; mewujudkan kempen kesedaran awam; menjalankan dan menganjurkan bengkel dan seminar; pelaksanaan program pencegahan dan pendidikan; menyediakan perkhidmatan penjagaan dan sokongan dan kaunseling psikologi.