Persidangan AIDS Kebangsaan Kali Ketiga yang telah berlangsung di Hotel MS Garden, Kuantan pada 11 – 12 Oktober 2014 mengambil tema “Getting to ZERO – More needs to be done”. Penganjuran persidangan tersebut adalah kerjasama antara Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MASHM), Persatuan Alumni Program Perisikan Epidemik Malaysia (EIPMAS) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan disokong oleh Majlis AIDS Malaysia.
Persidangan ini telah berjaya menghimpunkan hampir 1,000 peserta yang terdiri daripada pakar – pakar perubatan terutamanya dalam lapangan kesihatan awam, kesihatan keluarga, kesihatan bersekutu selain wakil-wakil masyarakat sivil dan NGO, badan-badan keagamaan, pelajar-pelajar serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
Persidangan ini diadakan bagi mencapai objektif berikut:
Upacara perasmian persidangan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Haji Hilmi Bin Haji Yahya beserta dengan pelancaran Buku Garis Panduan bertajuk “Consensus Guidelines on Antiretroviral Therapy 2014” dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MASHM).
Bercakap kepada media, beliau berkata, “Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut terlibat dalam Deklarasi Komitmen ASEAN 2011 dan ‘Cities Getting to Zero Project’ iaitu usaha bagi memastikan mereka yang hidup dengan HIV mendapat rawatan antiretroviral dengan sempurna, sokongan dan kaunseling yang akhirnya akan mengurangkan kematian akibat AIDS.”
Sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan jangkitan HIV terus menurun dalam kalangan rakyat negara ini, beliau menggesa agar masyarakat dapat mengubah stigma negatif dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV.
Sepanjang tempoh persidangan, Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia bersama Kelab Belia Riben Merah telah terlibat secara langsung dengan mengadakan pameran yang berkongsi maklumat dengan delegasi persidangan tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan. Gerai pameran turut mendapat perhatian YB Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia.
Untuk maklumat lebih lanjut, layari laman rasmi Persidangan Ketiga AIDS Kebangsaan tersebut.