

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2013 – Lebih 120 anggota komuniti yang terjejas oleh HIV termasuk kanak-kanak dan wanita dari rumah perlindungan di bawah pengurusan Majlis AIDS Malaysia sekitar Lembah Kelang telah diraikan dalam majis berbuka puasa Nur Ramadhan 1434 H Yayasan AIDS Malaysia Bersama Komuniti di Rumah Perlindungan Pertubuhan Wanita dan Kesihatan Kuala Lumpur (WAKE) 1 di sini. Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Sime Darby Group itu bersempena dengan inisiatif tabung amal Nur Ramadhan Yayasan AIDS Malaysia, dan disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Maybank Berhad, Grand Hyatt Kuala Lumpur, Tesco Stores (M) Sdn. Bhd., FLORA, etc., Umang-Umang Wholesale Emporium, Yayasan Ihtimam Malaysia, dan Pusat Kecemerlangan Kajian AIDS, Universiti Malaya.
Selain untuk mengisi tabung amal menerusi sumbangan ikhlas rakan-rakan korporat, Nur Ramadhan yang kini telah masuk tahun ketiga merupakan usaha Yayasan AIDS Malaysia (YAM) untuk mengeratkan pertalian sesama komuniti dan mengukuhkan jaringan kerjasama strategik dengan sektor korporat, agensi-agensi kerajaan dan masyarakat sivil bersesuaian dengan penghayatan pengutuhan ukhuwah bulan Ramadhan yang mulia ini.
“Komuniti ialah nadi penggerak utama respons HIV di negara ini. Pencapaian yang telah ditempa dalam menangani isu-isu berkaitan HIV dan memperluas kegiatan-kegiatan pencegahan, rawatan dan jagaan HIV khususnya di peringkat akar umbi selama ini berkat usaha sama antara komuniti dan pihak berwajib. Namun begitu, stigma masyarakat terhadap komuniti yang terjejas oleh HIV masih menebal. Kami berharap inisiatif Nur Ramadhan ini dapat sedikit banyak mengikis stigma dan prasangka negatif tersebut dan meringankan bebanan mereka yang kurang bernasib baik terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” ujar Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman, Pengerusi YAM.
Beliau mewakili pihak YAM juga tidak ketinggalan untuk merakamkan penghargaan kepada Sime Darby Group bukan sahaja untuk penganjuran bersama majlis Nur Ramadhan malahan sokongan padu yang diberikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini terhadap usaha-usaha advokasi dan tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan YAM dan Majlis AIDS Malaysia. Selain Sime Darby Group, badan-badan korporat yang lain turut mengambil kesempatan dalam majlis yang sama untuk menyampaikan sumbangan kepada YAM dan komuniti yang diraikan. Grand Hyatt Kuala Lumpur dan Maybank Berhad masing-masing menyerahkan cek sumbangan amal bernilai RM 50,000 dan RM 75,334 yang akan dimanfaatkan YAM untuk program rawatan, jagaan dan sokong bantu HIV. Manakala, Tesco Stores (M) Sdn. Bhd. dan Umang-Umang Wholesale Emporium pula menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada rumah-rumah perlindungan dan ahli komuniti yang lainnya.
Majlis Nur Ramadhan ini diserikan lagi dengan kehadiran Selebriti Sokongan Reben Merah Majlis AIDS Malaysia iaitu Aaron Aziz, Fahrin Ahmad dan Hafiz Hamidun yang telah melapangkan masa untuk menghiburkan kanak-kanak dan para jemputan yang hadir. Hiasan dekor yang menghiasi perkarangan majlis bermotifkan suasana berhari raya di kampung diilhamkan dan ditaja sepenuhnya oleh FLORA, etc.