

Kempen Kesedaran HIV & AIDS STOP.THINK.TEST anjuran para pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan Universiti Sains Malaysia (USM) telah dilancarkan dengan rasminya oleh YB Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahya, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, di USM Pulau Pinang pada 7 Mei 2014. Dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia (MAC) sebagai penganjur bersama, kempen turut mendapat sokongan daripada Felda Wellness Corporation, 1M4U, Dutch Lady, Sunquick dan beberapa penaja korporat yang lain.
Antara objektif kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang HIV & AIDS dalam kalangan pelajar IPTA & IPTS di Pulau Pinang terutamanya tentang kepentingan ujian saringan serta amalan-amalan pencegahan HIV.
“Sokongan daripada masyarakat amat penting dalam memastikan [orang yang hidup dengan HIV] terus bersemangat dalam menjalani kehidupan normal seperti individu lain. Satu dari objektif kempen STOP. THINK.TEST ini iaitu mengurangkan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap orang yang hidup dengan HIV adalah dilihat sangat relevan,” ujar Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahya sewaktu berucap dalam majlis perasmian kempen tersebut.
YB Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahya, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia menyampaikan ucapan perasmian kempen STOP.THINK.TEST
Kalendar Acara
Beberapa siri acara berkaitan dengan kempen STOP.THINK.TEST telah diadakan antara 6 – 18 Mei 2014 bagi memastikan objektif kempen berjaya dicapai, antaranya; Pameran Ekspo Kesihatan Kesedaran HIV/AIDS 2014, Forum HIV/AIDS, Sesi Perkongsian Selebriti Sokongan Riben Merah Owen Yap, Sesi Perkongsian Pengalaman Orang Yang Hidup dengan HIV, Ceramah HIV/AIDS berdasarkan Perspektif Islam, Red Ribbon Run, Majlis Makan Malam Amal Up Close & Personal with Red Ribbon Celebrity Supporters dan juga HIV Road Tour di Wawasan Open University, Kolej INTI, UNITAR, Kolej Komuniti Nibong Tebal, Koleh KDU dan beberapa karnival kerjaya & keusahawanan.
HIV Road Tour
Red Ribbon Run bersempena dengan Hari Memperingati AIDS Sedunia 2014
Selebriti Sokongan Riben Merah
Penganjur bersama MAC menurunkan beberapa Selebriti Sokongan Riben Merah iaitu Aaron Aziz, Bob Yusof dan Owen Yap untuk turut bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kempen ini.
“Saya dan juga rakan-rakan Selebriti Sokongan Riben Merah yang lain sentiasa menyokong usaha anda semua supaya kesedaran belia tentang HIV dapat ditingkatkan dan jangkitan HIV baru dapat dikurangkan. Ingat: STOP.THINK.TEST!” kata Aaron Aziz sewaktu majlis pelancaran kempen ini.
Selebriti Sokongan Riben Merah Aaron Aziz berucap sewaktu majlis perasmian STOP.THINK.TEST anjuran pelajar Komunikasi Pemujukan USM
Aaron Aziz & Bob Yusof bergambar bersama ahli-ahli Kelab Belia Riben Merah (Red Ribbon Youth Club) selepas Majlis Makan Malam Amal Up Close & Personal with Red Ribbon Celebrity Supporters di Hotel Vistana Pulau Pinang
Owen Yap berkongsi pengalaman berhadapan dengan isu-isu HIV sebagai Selebriti Sokongan Riben Merah
MAC sentiasa menggalakkan kempen kesedaran HIV yang dianjurkan oleh belia dan menyokong penuh STOP.THINK.TEST. Kepimpinan belia dalam menerajui kempen kesedaran seumpama dapat memberikan impak pemahaman yang tinggi dalam diri mereka tentang isu-isu berkaitan HIV & AIDS dalam menuju sasaran sifar jangkitan HIV baru dan sifar stigma dan diskriminasi bagi generasi akan datang.