Perpaduan Menuju Sifar – Tema Sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia 2013 Perbaharukan Iltizam Banteras AIDS

Sponsorship of Cooking Gas for Shelter Homes for People Living with HIV: Symbol of Corporate Social Responsibility Commitment by NGC Energy Sdn Bhd
March 8, 2013
Women Deliver 2013 Kuala Lumpur
May 22, 2013

Perpaduan Menuju Sifar – Tema Sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia 2013 Perbaharukan Iltizam Banteras AIDS

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2013 – Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan Ahli-Ahli Gabungan seluruh negara hari ini meraikan Hari Memperingati AIDS Sedunia yang bertujuan memberikan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia disebabkan penyakit berkaitan AIDS. Bertemakan ‘Perpaduan Menuju Sifar’, sambutan turut bertindak sebagai wahana yang menyatupadukan segenap lapisan masyarakat – sektor-sektor awam dan kesihatan, institusi-institusi keagamaan, komuniti yang terjejas serta keluarga dan sahabat mereka – dalam usaha membanteras stigma dan diskriminasi serta meningkatkan akses kepada rawatan, jagaan dan sokong bantu untuk orang yang hidup dengan HIV.

“Sokongan Majlis AIDS Malaysia terhadap komuniti yang terjejas oleh HIV/AIDS tidak pernah berbelah bagi. Malahan sempena sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia pada tahun ini, kami ingin mengambil peluang tersebut untuk memperbaharui iltizam untuk melipatgandakan usaha dan sumber daya dalam membanteras jangkitan baru HIV dan meningkatkan akses rawatan HIV bagi mereka yang memerlukan. Berdasarkan hasil penemuan saintifik HIV yang terkini, kami berasa optimistik kematian yang berkaitan AIDS dapat dielakkan sama sekali sekiranya lebih ramai orang yang hidup dengan HIV diberikan rawatan tanpa halangan dan prejudis,” ulas Datuk Dr. Raj Karim, Presiden MAM, tentang pengertian tema sambutan.

Di Malaysia, sejak kes pertama HIV/AIDS pada tahun 1986, lebih 98,279 jangkitan HIV, manakala 15,688 kematian berkaitan AIDS telah dilaporkan sehingga akhir tahun 2012.

Hari Memperingati AIDS Sedunia – yang mencecah ulang tahun ke-30 tahun ini – merupakan acara pergerakan komuniti akar umbi HIV/AIDS yang tertua di dunia. Di Malaysia, seperti kelaziman yang terdahulu, aktiviti-aktiviti untuk menandakan sambutan dipenuhi dengan pengisian kerohanian dan upacara keagamaan seperti bacaan yasin dan tahlil untuk orang Islam serta amalan memorial untuk penganut agama yang lain.