Rumah perlindungan dan jagaan paliatif HIV pertama di Kelantan ‘talian hayat’ kritikal komuniti setempat

Women who use drugs struggle on their own
March 5, 2015
HIV & HUMAN RIGHTS MITIGATION REPORT 2014
June 26, 2015

Rumah perlindungan dan jagaan paliatif HIV pertama di Kelantan ‘talian hayat’ kritikal komuniti setempat

KOTA BHARU, 26 Mei 2015 –  Pada Syamsul (bukan nama sebenar), 40, diagnosis HIV yang diterimanya lima tahun lepas bukan penghalang untuk meneruskan kehidupan. Namun disebabkan situasi kewangan keluarga yang tidak mengizinkan – kakaknya yang tiada pendapatan tetap baharu kematian suami dan kini menanggung kos sara hidup keluarga di samping menjaga ibunya yang sedang uzur akibat strok – lelaki kelahiran Pasir Putih, Kelantan yang juga bekas pengguna dadah itu terpaksa beralah dan menumpang teduh di sebuah masjid di Tumpat.

“Mujur saya ditempatkan di Rumah SAHABAT… Alhamdulillah, inilah satu-satunya talian hayat saya,” ujar Syamsul ketika ditemui pada majlis pelancaran Rumah SAHABAT di Kampung Masjid Kota di sini hari ini.

​ Rumah SAHABAT, rumah perlindungan HIV yang lengkap dengan kemudahan rawatan dan jagaan paliatif yang pertama di negeri Kelantan, telah mula beroperasi pada bulan Mei 2015.

Rumah SAHABAT, rumah perlindungan HIV yang lengkap dengan kemudahan rawatan dan jagaan paliatif yang pertama di negeri Kelantan, telah mula beroperasi pada bulan Mei 2015.

Syamsul antara 88,093 orang yang dilaporkan hidup dengan HIV di Malaysia (sehingga Disember 2014) dan kisah hidupnya cukup sinonim dengan cabaran yang dihadapi oleh komuniti orang yang hidup dengan HIV setempat.

Negeri-negeri di pantai timur semenanjung antara lokasi bertumpunya epidemik HIV di Malaysia dan negeri Kelantan tidak terlepas daripada situasi tersebut. Dalam tempoh sedekad ini, setiap tahun Kelantan secara konsisten mencatatkan kadar notifikasi jangkitan HIV baharu yang lebih tinggi berbanding kadar notifikasi purata negara. Pada tahun lepas, angka itu mencecah 13.4 bagi setiap 100,000 penduduk (purata 11.69 bagi setiap 100,000 penduduk di Malaysia).

“Bukan itu sahaja, jurang sosio-ekonomi yang ketara serta kurangnya kemudahan berasaskan komuniti menyebabkan ramai orang yang hidup dengan HIV di negeri Kelantan tercicir dari segi rawatan dan penjagaan,” jelas Datuk Dr. Raj Karim, Presiden Majlis AIDS Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AIDS Malaysia.

“Tinjauan kami juga mendapati bahawa sebilangan besar daripada mereka disisihkan keluarga dan masyarakat, sehingga ada antara mereka yang terpaksa hidup melarat. Jika kes dirujuk kepada pertubuhan kebajikan, mereka akan dihantar ke rumah-rumah perlindungan di negeri-negeri jiran bukan sahaja Terengganu dan Pahang malah sejauh Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan rehabilitasi.”

Rumah SAHABAT telah diilhamkan oleh Yayasan AIDS Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia dengan kerjasama Ahli Gabungan, Persatuan Perantaan Pesakit Kelantan (SAHABAT) sebagai rumah perlindungan yang lengkap dengan kemudahan rawatan dan jagaan paliatif HIV yang pertama di negeri Kelantan. Bukan sahaja prasarana seumpama ini diperlukan malah kritikal dalam kontinum jagaan HIV berasaskan komuniti selari dengan strategi Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyasarkan liputan rawatan antiretroviral setinggi 80 peratus daripada jumlah kesemua orang yang hidup dengan HIV yang layak menerima rawatan menjelang akhir tahun ini.

Majlis perasmian Rumah SAHABAT telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Tengku Laksamana Kelantan yang juga merupakan Penaung Majlis Resepsi Amal Bersama Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan AIDS Malaysia yang diadakan pada 9 September 2014 bertujuan meraih dana untuk merealisasikan projek Rumah SAHABAT.

20120102_090949

Upacara memotong riben sebagai tanda perasmian Rumah SAHABAT disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Tengku Laksamana Kelantan sambil diperhatikan oleh Tan Sri Mohd Zaman Khan, Presiden Persatuan Perantaan Pesakit Kelantan atau SAHABAT (kiri) dan Datuk Dr. Raj Karim, Presiden Majlis AIDS Malaysia (kanan).

Bertitik tolak dari majlis amal tersebut, sumbangan serta sokongan terhadap pembinaan Rumah SAHABAT telah diterima daripada pelbagai pihak merentasi sektor kerajaan, korporat dan badan-badan keagamaan termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia, Yayasan Sime Darby, M.A.C Cosmetics Malaysia, Renaissance Kota Bharu Hotel (penganjur bersama Majlis Resepsi Amal), CIMB Bank Islamic (termasuk sumbangan kepada projek pemulihan banjir yang telah menyebabkan kerosakan kepada premis dan aset lain milik empat Ahli Gabungan Majlis AIDS Malaysia), Firefly, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Ihtimam Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia serta syarikat-syarikat dan individu-individu lain yang prihatin.

“Yayasan AIDS Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan projek Rumah SAHABAT. Semoga permuafakatan serta kerjasama yang terjalin akan dapat mengukuhkan asas Rumah SAHABAT dan menjadikannya titik permulaan ke arah pembentukan sebuah komuniti yang sihat dan bebas daripada kesan negatif HIV dan AIDS di negeri Kelantan,” tambah Datuk Dr. Raj Karim.

Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Tengku Laksamana Kelantan (hadapan, tengah) bergambar kenang-kenangan dengan wakil-wakil agensi kerajaan serta sektor korporat yang merupakan peneraju utama dan penyokong projek Rumah SAHABAT.

Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Tengku Laksamana Kelantan (hadapan, tengah) bergambar kenang-kenangan dengan wakil-wakil agensi kerajaan serta sektor korporat yang merupakan peneraju utama dan penyokong projek Rumah SAHABAT.

Rumah SAHABAT mempunyai kapasiti maksimum untuk menampung lima belas penghuni lelaki pada suatu masa tertentu. Selain menyediakan rawatan perubatan asas serta jagaan paliatif dan rehabilitasi, Rumah SAHABAT dalam jangka masa panjang akan dibangunkan sebagai ‘community one-stop centre’ yang mengintegrasikan komponen-komponen ujian HIV dan latihan pemerkasaan kesihatan komuniti, menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Sungguhpun perkhidmatan kebajikan seperti Rumah SAHABAT antara tunjang pencapaian perlaksanaan program HIV di bawah Pelan Strategik Kebangsaan, perlu ditegaskan bahawa rumah perlindungan bukanlah tempat tinggal kekal sepanjang hayat untuk para penghuni. “Sebaik-baik rumah perlindungan ialah rumah mereka sendiri yang dikelilingi ahli keluarga serta suasana penuh kasih sayang. Sesungguhnya penerimaan serta keprihatinan keluarga itu amat kritikal dalam proses pemulihan kesihatan fizikal dan mental seseorang yang hidup dengan HIV,” ulas Tan Sri Mohd Zaman Khan, Presiden SAHABAT.

Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Tengku Laksamana Kelantan (kanan) memeriksa kelengkapan yang disediakan untuk keselesaan penghuni Rumah SAHABAT, sambil diberikan penerangan oleh Tan Sri Mohd Zaman Khan, Presiden SAHABAT (kiri).

Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Tengku Laksamana Kelantan (kanan) memeriksa kelengkapan yang disediakan untuk keselesaan penghuni Rumah SAHABAT, sambil diberikan penerangan oleh Tan Sri Mohd Zaman Khan, Presiden SAHABAT (kiri).

“Sebaliknya, Rumah SAHABAT ini sekadar rumah persinggahan sementara buat mereka, sehingga tahap kesihatan mereka pulih dan dapat berdikari untuk meninggalkan Rumah SAHABAT ini dan kembali berbakti kepada masyarakat.”

Syamsul (bukan nama sebenar), salah seorang penghuni Rumah SAHABAT (tengah, berbaju kuning) menjalani ujian darah yang dilakukan jururawat bertugas.

Syamsul (bukan nama sebenar), salah seorang penghuni Rumah SAHABAT (tengah, berbaju kuning) menjalani ujian darah yang dilakukan jururawat bertugas.

Begitu juga harapan Syamsul. “Sepanjang berada di bawah jagaan Rumah SAHABAT, saya akan menumpukan usaha untuk memulihkan tahap kesihatan saya di samping mencari peluang pekerjaan untuk menyara hidup. Saya dahulu pernah bekerja sebagai buruh pembinaan, cuma saya perlu dilatih semula untuk membaiki kemahiran,” katanya menutup bicara.

 [TAMAT]

 MAJLIS AIDS MALAYSIA

Majlis AIDS Malaysia (MAC) ditubuhkan pada tahun 1992 sebagai organisasi ‘payung’ yang bertanggungjawab untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkerja di lapangan HIV/AIDS. MAC menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, untuk memastikan respons terhadap epidemik HIV oleh NGO adalah komited dan efektif. Selain melaksanakan program pencegahan, rawatan, jagaan dan sokong bantu HIV di seluruh negara, MAC dan Ahli-Ahli Gabungan bertindak mewakili suara komuniti-komuniti yang terjejas oleh HIV. Untuk keterangan lanjut, layariwww.mac.org.my

YAYASAN AIDS MALAYSIA

Yayasan AIDS Malaysia ditubuhkan pada tahun 1992 untuk meraih dan menguruskan sumber dana untuk menyokong aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Majlis AIDS Malaysia dan Ahli-Ahli Gabungan. Yayasan AIDS Malaysia menjalankan aktiviti bagi mengawal penularan jangkitan HIV di Malaysia, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai HIV dan AIDS, memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV, membantu kanak-kanak yatim, wanita-wanita dan orang dewasa yang hidup dengan HIV, menjaga hak serta memberi bantuan kepada mereka yang hidup dengan HIV. Untuk maklumat lanjut, layari www.mac.org.my

PERSATUAN PERANTARAAN PESAKIT KELANTAN (SAHABAT)

Persatuan Perantaan Pesakit Kelantan, atau lebih dikenali dengan singkatannya SAHABAT, telah ditubuhkan pada tahun 1999 oleh pengasasnya Marzuki Santokh yang dibantu oleh Dato’ Dr. Hj. Abd. Razak Hj. Kechik dan beberapa orang sukarelawan. Sebagai Ahli  Gabungan  Majlis AIDS Malaysia, SAHABAT menyasarkan perkhidmatan kesihatan mereka kepada orang yang hidup dengan HIV dan komuniti-komuniti lain yang turut terkesan oleh HIV dan AIDS di negeri Kelantan seperti pengguna dadah suntikan (termasuk pasangan dan keluarga mereka), mereka  yang  ditahan dan/atau  dibebaskan  dari Penjara  Pengkalan  Chepa dan lain-lain. Program kesihatan yang dijalankan berteraskan aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang HIV dalam kalangan komuniti.

HUBUNGI

Jabatan Media & Komunikasi, Yayasan AIDS Malaysia

Zaki Arzmi       │ 016 292 2948 │ [email protected]

Meera Abi        │ 016 414 6400 │ [email protected]